Want to share this Foto on another web-site or blog?

Paste one of the following lines in to your site, blog or profile page..

Script:

HTML (for myspace, bebo etc):

BBCode (for message boards/forums):
[ View the Fotopage entry | View the complete Fotopage ]


peta melaka
Mail this Foto to a friend
Search BoardTracker for..
peta melaka



< Previous

Next >
[ View the Fotopage entry | View the complete Fotopage ]


Thursday, 25-Jan-2007 01:11
Di Manakah Melaka?


Di Manakah Melaka?



Malaysia terletak satu hingga tujuh darjah ke utara garisan khatulistiwa. Negeri Melaka, salah satu dari empat belas negeri dalam Malaysia, terletak di Barat Daya Semenanjung Malaysia mengadap Selat Melaka bersempadan dengan Negeri Sembilan di Utara dan Johor di Selatan.

Keluasan Melaka adalah 1,650 kilometer persegi dan ianya dibahagikan kepada tiga daerah iaitu Melaka Tengah, Alor Gajah dan Jasin.

Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) membolehkan Melaka diakses dari semua negeri di Malaysia. Perjalanan ke Melaka mengambil masa satu jam setengah melalui jalanraya dari Kuala Lumpur dan lebih kurang tiga jam dari Singapura.

Salah satu cara lain untuk sampai ke Melaka adalah dengan menggunakan jalan tepian pantai dari Kuala Lumpur yang melalui Klang, Morib dan Port Dickson sebelum sampai ke Melaka. Mereka dari Singapura boleh mengambil jalan indah yang melalui kawasan kampung dan ladang.



Melaka, yang terletak di tengah-tengah Selat Melaka bukan sahaja merupakan sebuah negeri yang kaya dengan hasil bumi, ia juga kaya dengan sejarah dan lagenda. Di Melakalah segalanya bermula.

Melaka diasaskan oleh Parameswara pada tahun 1396. Beliau menamakan kawasannya bersempena dengan pokok Melaka. Melaka telah dijadikan pentas bagi pendatang Cina, Portugis, Belanda dan Inggeris dalam penciptaan sejarah.

Hari ini, Melaka mempunyai tarikannya yang tersendiri. Di antaranya ialah menaiki beca di tengah-tengah kota, menaiki bot di Sungai Melaka ataupun bersiar-siar di kawasan yang menceritakan tentang peperangan dan penyeksaan, percintaan dan penyesalan.

Pengaruh sejarahnya telah mencorakkan Melaka dengan berbagai kaum yang mempunyai budayanya yang menarik - satu daya tarikan yang unik di Melaka. Melaka juga merupakan tempat mencari ilmu serta beriadah. Mereka yang ingin mencari kualiti kesihatan dan pendidikan boleh memilih Melaka kerana ianya menyediakan fasiliti yang terbaik. Sebagai destinasi MICE, bandaraya bersejarah ini tidak boleh ditandingi.


Lambang Negeri Melaka



Pelbagai warna yang terdapat pada lambang negeri ini adalah warna-warna yang terdapat di Malaysia. Ia menunjukkan bahawa Melaka adalah sebahagian dari Malaysia. Manakala 5 keris yang ada melambangkan 5 orang pahlawan Melaka pada zaman silam yang terkenal dan berani: Hang Tuah, Hang Jebat, Hang Lekiu, Hang Lekir dan Hang Kasturi. Bulan sabit dan bintang yang terdapat di atas tengah-tengahnya pula adalah simbol kepada Islam sebagai agama rasmi.

Disamping itu, terdapat pokok dan 2 ekor pelanduk yang melambangkan hikayat bagaimana Melaka diasaskan. Dalam hikayat itu menceritakan bagaimana Parameswara menyaksikan pergaduhan antara seekor pelanduk dengan seekor anjing semasa baginda sedang berehat di bawah pokok melaka. Baginda berasa kagum dengan kekuatan dan kebijaksanaan rusa yang kecil itu semasa berlawan dengan seekor anjing. Akhirnya baginda mengambil keputusan untuk mendirikan tempat tinggal di situ dan menamakannya Melaka.

Moto negeri adalah "Bersatu Teguh".


Bendera Melaka



[b]Warna biru, kuning, merah dan putih yang terdapat pada bendera Melaka mencerminkan warna-warna yang terdapat pada bendera Malaysia (Jalur Gemilang). Ini menandakan Melaka sebagai sebuah negeri di Malaysia. Lambang bulan sabit dan bintang yang ada pula adalah simbol kepada Islam, agama rasmi negeri dan juga negara.


Bunga Negeri Melaka



Bunga Kesidang

Kesidang atau nama botaninya "canangrium scortechinii" merupakan sejenis tumbuhan kecil tetapi keras dan dahannya mengembang di atas junjung yang dibina untuknya. Seluruh bahagian pokok ini mengandungi getah, daunnya mirip daun sirih, rimbunannya memberi naungan kepada pokok-pokok lain yang berdekatan. Bentuknya yang kecil dan sifatnya yang lembut menjadikan Kesidang sebagai bunga yang dijadikan hiasan di tempat-tempat yang terhormat.

Masyarakat tradisi Melaka menjadikan Kesidang sebagai bunga dandanan rambut wanita, hiasan pengantin dan alat-alat upacara adat seperti tepak sirih dan bunga rampai.

Kesidang melambangkan kesederhanaan watak dan peribadi masyarakat Melaka yang ramah dan sopan-santun.


Sejarah


Penemuan Melaka oleh Parameswara

Melaka diketahui sebagai sebuah negeri bersejarah yang kaya dan dikenali sebagai lambang semangat perpaduan kebangsaan yang telah ditempa hasil ukiran dan tenunan sejarah yang unik.

Melaka telah diasaskan oleh Parameswara (atau Raja Iskandar), pemerintah Melayu Temasik yang terakhir (Singapura pada masa dahulu) pada tahun 1396 apabila baginda dan pengikut-pengikutnya mengundurkan diri ke selat menuju ke Muar, dan kemudiannya ke Sungai Ujung sebelum singgah di Bertam iaitu berdekatan dengan muara Sungai Melaka.

Setelah mengetahui akan kedudukannya yang strategik, baginda memutuskan untuk menetap di situ dan menamakannya sebagai "Melaka" sempena nama sebuah pokok tempat baginda bersandar.

Kesultanan Melaka adalah kedudukan yang istimewa dan penting dalam sejarah Malaysia. Perlantikannya menandakan permulaan baru kepada pemerintahan baru Melayu. Sebagai tempat kelahiran Kesultanan Melayu dan sejarah bandar Malaysia, Melaka merupakan tempat di mana Portugis, Belanda dan juga British memainkan peranan dalam melakar sejarah.


Ukiran Batu Hang Tuah

Melaka muncul sebagai sebuah kuasa perdagangan maritim hasil kerja keras Parameswara dan pengikut-pengikutnya. Melaka mula dikenali oleh pedagang-pedagang Islam dari Asia Barat dan India yang pada waktu itu menumpukan aktiviti mereka di Aru, Pedir, Pasai dan sepanjang perjalanan ke Timur, terutamanya Cina. Disebabkan kedudukannya yang strategik di Selat Melaka, ia telah berkembang sebagai pengkalan kapal dan pusat pertukaran barang dagangan dari Cina, Jepun, India, Arab dan Afrika Selatan.

Pada tahun 1511 ia telah jatuh ke tangan Portugis, dan kemudianya Belanda pada tahun 1641 dalam peperangan yang sengit. Pada tahun 1795, Melaka telah diberi kepada British untuk menghalangnya dari jatuh ke tangan Perancis apabila Netherland dijajah semasa Peperangan Napoleon. Selepas itu ia telah dikembalikan semula kepada Belanda pada tahun 1818 di bawah Perjanjian Vienna, tetapi akhirnya menjadi milik British, hasil pertukaran Bangkahulu, Sumatera kepada Belanda. Semenjak tahun 1826, Melaka bersama-sama Singapura dan juga Pulau Pinang diperintah oleh Kompeni Hindia Timur British di bawah pentadbiran Perjanjian Selat di Calcutta.

Belanda, sebuah kuasa yang telah memerintah Melaka selama lebih satu kurun telah banyak mendirikan bangunan-bangunan yang melambangkan tinggalan mereka. Stadthuys adalah bekas tinggalan yang terunggul semasa zaman pemerintahan Belanda. Dewan bandar yang berwarna merah jambu ini adalah bangunan tinggalan Belanda yang tertua di Timur Jauh. Bersebelahan dengannya pula adalah Gereja Christ yang berwarna merah terang yang dibina dengan bata merah yang diimport dari Holland yang disalut dengan laserit. Kini, bangunan-bangunan, bersama-sama dengan tinggalan Portugis seperti A' Famosa dan Gereja St. Paul telah menjadi ingatan yang terunggul melambangkan kehadiran kuasa-kuasa Eropah pada masa lalu di Melaka.



Selepas Perang Dunia ke 2, sentimen anti-koloni telah merebak di seluruh negara di kalangan nasionalis hingga terhasilnya Perisytiharan Kemerdekaan oleh Tunku Abdul Rahman Putra, Perdana Menteri Malaysia yang pertama di Padang Pahlawan di Bandar Hilir Melaka pada 20 Februari 1956


Tahun 1396

Mengikut riwayat Sejarah Melayu, Parameswara merupakan putera raja Palembang kurun ke empat-belas yang melarikan diri dari musuhnya iaitu orang-orang Jawa. Baginda telah melarikan diri ke Temasik (Sekarang dikenali sebagai Singapura) dan menjadikan dirinya sebagai raja. Tidak lama kemudian, baginda telah dihalau dari Temasik oleh penjajah dari Siam dan dengan pengikut-pengikutnya telah sampai ke pantai barat Semenanjung Tanah Melayu untuk mencari tempat untuk berselindung. Pada mulanya mereka menjadikan Muar, Johor sebagai tempat untuk bermastautin tetapi keadaannya tidak sesuai kerana terdapat terlalu banyak biawak. Baginda kemudian memilih tempat kedua untuk membina istana tetapi ianya tidak berkekalan.

Parameswara kemudian menjelajah ke tempat lain. Dalam satu rombongan memburu, baginda sampai ke sebuah sungai bernama Bertam. Disana, beliau terlihat seekor kancil yang dikejar oleh anjing-anjing pemburu baginda telah menendang salah seekor daripada anjingnya jatuh ke dalam sungai. Baginda amat terkejut dengan keberanian kancil tersebut dan dengan serta-merta menamakan tempat tersebut dengan nama Melaka, sempena dengan nama pokok dimana baginda sedang berteduh.

Tahun tersebut ialah 1396

__________________________________________________________________

Kurun ke-15

1403 ~ Utusan Cina yang pertama, Yin Ching telah tiba di Melaka


1407 ~ Angkatan Laut Cina yang diketuai oleh Laksamana Cheng Ho telah melawat Melaka

1411 ~ Parameswara telah melawat Maharaja Ming di Cina.

1414 ~ Parameswara memeluk Islam dan menukar namanya kepada Raja Iskandar Shah.

1424 ~ Anak Parameswara, Seri Maharaja telah menaiki takhta yang dan digelar "Sultan", yang kemudiannya menjadi pemerintah pertama di sini yang berbuat demikian. Baginda telah menukar namanya kepada Sultan Muhammad Shah dan memerintah mengikut ajaran Islam, mengasaskan etika istana dan menyebarkan Islam.

1445 ~ Raja Ibrahim, anak Sultan Muhammad Shah yang paling muda telah menjadi pemerintah selepas kemangkatan ayahandanya dan digelar Sultan Abu Shahid.

1446 ~ Kemangkatan Sultan Abu Shahid dalam kemalangan telah membuatkan Sultan Muzaffar Shah, kekandanya yang paling tua naik takhta.

1447 ~ Serangan Siam yang pertama ke atas Melaka telah berlaku, tetapi telah disekat oleh angkatan perang Melaka.

1456 ~ Tun Perak telah dilantik menjadi Bendahara, atau Perdana Menteri. Beliau telah menjadi terkenal kerana pentadbiran yang baik dan bertanggungjawab dalam memajukan Melaka.

1458 ~ Sultan Mansor Shah telah mengambil alih pemerintahan ayahnya, Sultan Muzaffar Shah.

1477 ~ Sultan Mansor Shah Telah mangkat dan digantikan oleh anaknya Sultan Alauddin Riayat Shah.

1488 ~ Sultan Alauddin, seorang pemerintahan yang berjiwa besar telah mangkat akibat keracunan. Kemudian Sultan Mahmud Shah telah menaiki takhta atas jasa Tun Perak dan juga Hang Tuah (Wira Lagenda).

1498 ~ Tun Perak telah meninggal dunia.


Kurun ke-16

1500 ~ Tun Mutahir, sepupu kepada Tun Perak telah dilantik sebagai Bendahara Melaka.

1509 ~ Ekspedisi perdagangan Portugis yang pertama, diketuai oleh Diego Lopez de Sequiera telah tiba di Melaka dengan seangkatan kapal. Mereka telah menjadi orang Eropah pertama yang tiba di rantau ini.

1510 ~ Bendahara Tun Mutahir telah dibunuh. Pada masa ini, Sultan Mahmud Shah telah turun takhta untuk sementara waktu dan digantikan oleh anaknya iaitu Sultan Ahmad Shah.

1511 ~ Selepas 10 hari dikepung, Melaka telah jatuh ke tangan angkatan laut Portugis yang diketuai oleh Alfonso D' Albuquerque. Semenjak itu Portugis telah memerintah Melaka selama 130 tahun.

1512 ~ Albuquerque telah kembali ke Goa pada bulan Januari selepas menyiapkan "A Famosa", kota kubu yang mempunyai ketinggian menara 5 tingkat. Kemudian Sultan Mahmud Shah telah menyerang Portugis di Melaka.

1513 ~ Patih Unus, seorang pedagang Jawa yang kemudiannya menjadi Sultan Demak di Sumatera telah menyerang Melaka.

1516 ~ Laksamana Hang Nadim, anak kepada Hang Tuah telah menyerang Melaka.
1518/19 ~ Askar-askar Sultan Mahmud Shah telah mengepung bandar Melaka selama 3 bulan.

1523 ~ Sultan Mahmud Shah telah menyerang Melaka.

1524 ~ Laksamana Hang Nadim mengepung Melaka dan memotong bekalan makanannya.

1537 ~ Serangan orang Acheh yang pertama ke atas Portugis di Melaka.

1545 ~ Paderi Francis Xavier telah tiba di Melaka buat pertama kalinya. Selepas itu beliau telah melawat Melaka sebanyak 5 kali.

1551 ~ Gabungan Johor, Japara dan Perak telah menyerang Melaka dan mengepungnya selama 3 bulan.

1553 ~ Paderi Francis Xavier telah mati di Pulau Sanction berdekatan dengan Canton, Cina dan dikebumikan di Gereja St. Paul. Selepas 9 bulan, mayatnya telah dialih dan dikebumikan di Goa.

1567/68 ~ Dengan pertolongan Johor, Acheh telah menyerang Melaka. Namun, sekali lagi mereka telah dikalahkan.

1571 ~ Acheh membuat percubaan untuk menyerang Melaka, tetapi percubaan mereka sekali lagi gagal kerana ribut taufan yang melanda.

1575 ~ Japara telah menyerang Melaka.

1585/86 ~ Johor telah menyerang Melaka.

1588 ~ Pelawat Inggeris yang pertama bernama Ralph Ritch telah tiba di Melaka.

1597 ~ Belanda telah menyerang Melaka.


Kurun ke-17

1606 ~ Gabungan Belanda dan Johor telah menyerang Melaka. Walaupun begitu, pasukan bantuan askar Portugis yang tiba tepat pada masanya dari Goa telah menyelamatkan Melaka.

1615/16 ~ Acheh telah melancarkan serangan sekali lagi ke atas Melaka.

1628/29 ~ Acheh telah berkuasa ke atas Melaka selama 8 bulan sebelum berundur.

1636 ~ Kapal Belanda telah memusnahkan kapal-kapal Portugis di pelabuhan.

1641 ~ Belanda dan orang Melayu Johor sekali lagi menyerang. Selepas peperangan yang sengit, Portugis telah diarahkan untuk menyerah kalah. Kemudian Belanda telah memerintah Melaka selama 154 tahun.

1645 ~ Kuil Cheng Hoon Teng telah dibina oleh Ketua orang Cina, Lee Wei King. Ia adalah kuil tertua yang masih wujud lagi di Malaysia.

1645/70 ~ Perang dalaman telah berlaku antara Belanda dengan Naning

1650 ~ Stadthuys atau "Rumah Negeri", tempat tinggal bagi Gabenor Belanda yang juga menjadi pusat pentadbiran telah dibina.


Kurun ke-18

1710 ~ Gereja St. Peter, sebuah Gereja Kristian di Malaysia telah dibina oleh Portugis. Ia mempunyai rekabentuk gabungan Timur dan Barat.

1753 ~ Gereja Christ telah siap dibina.

1756 ~ Orang Bugis yang diketuai Oleh Daing Kamboja, telah menyerang Melaka.

1784 ~ Raja Haji telah mendarat di Melaka tetapi kemudiannya dibunuh.

1795 ~ British telah mengambil alih Melaka daripada Belanda.


Kurun ke-19

1806 ~ British telah membuat rombakan terhadap segala tinggalan Portugis di Melaka. Meraka telah merancang utnuk memindahkan pusat perdagangan dan populasi ke Pulau Pinang untuk melemahkan Melaka sebagai sebuah pusat perdagangan.

1808 ~ Ketibaan Stamford Raffles telah menyelamatkan Melaka dari kejatuhan yang teruk.

1818 ~ Dengan berakhirnya Perang Napoleon, Melaka telah kembali kepada pemerintahan Belanda di bawah perjanjian Venice.

1819 ~ Sultan Hussain Mohammad Shah dari Johor telah menyerahkan Singapura kepada Kompeni Hindia Timur British. Kemudian makam sultan telah diletakkan di kawasan Masjid Tengkera.

1824 ~ Dengan Perjanjian Anglo-Belanda atau Perjanjian London, Melaka telah diletakkan dibawah pemerintahan British. Kemudian pada tahun 1826, Perjanjian Selat telah dibuat, di mana Pulau Pinang, Singapura dan juga Melaka telah di jadikan Negeri-negeri Selat yang berada dalam sistem pentadbiran yang sama.

1867 ~ Pentadbiran Negeri-negeri Selat telah dipindahkan dari Gabenor - ketua jabatan di India kepada Pejabat Kolonial di London dan Melaka telah menjadi koloni British.


Kurun ke-20

1904 ~ Permaisuri Victoria Fountain telah datang utuk memperingati Jubli Intan Seri Paduka Baginda.

1942 ~ Jepun telah menjajah Melaka.

1945 ~ Melaka telah dikembalikan kepada pemerintahan British selepas Jepun menyerah kalah kepada British di Singapura.

1948 ~ Perintah Darurat telah diisytiharkan di Tanah Melayu semasa serangan komunis. Pada waktu itu, Melaka telah memasuki Persekutuan Tanah Melayu.

1956 ~ Perisytiharan Hari Kemerdekaan telah dibuat oleh Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri Malaysia yang pertama di Padang Bandar Hilir (Padang Pahlawan), Melaka pada 20 Februari.

1957 ~ Malaysia telah mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos. Komisioner Residen British, H.G. Hammet telah menyerahkan dokumen kemerdekaan kepada gobenor tempatan yang pertama.

1989 ~ Melaka telah diisytiharkan sebagai Bandaraya Bersejarah pada 15 April.

_____________________________________________________________________


Seri Negeri - Pusat Pentadbiran dan Pembangunan Negeri. Disini juga terletak Pejabat Ketua Menteri, Pejabat Ketua Setiausaha dan Dewan Undangan Negeri.


Pentadbiran Negeri

Melaka adalah negeri yang kedua terkecil dengan keluasan kawasan sebanyak 1683 km persegi. Melaka telah banyak mencorakkan sejarah Malaysia, kerana disinilah segalanya bermula.

Melaka telah diasaskan dengan keberanian. Menurut lagenda, Parameswara, seorang putera raja dari Palembang, Sumatera telah terpegun dengan keberanian seekor kancil yang telah menendan seekor anjing yang mengejarnya kedalam sungai. Aksi berani ini telah menaikkan semangat Parameswara dan beliau telah memanggil tempat itu "Melaka" sempena dengan nama pokok dimana beliau berteduh. Beliau kemudian telah menamakan dirinya sendiri sebagai pemerintah Melaka.

Dibawah pemerintahan Parameswara dan pemerintah-pemerintah selepas beliau, Melaka membangun hingga menjadi kuat kerana polisi politik, sosial dan ekonominya.

Kepesatan pembangunan di Melaka telah menarik ramai pedagang-pedagang asing dari negara China, India, Timur Tengah serta negara-negara jiran. Melaka pernah menjadi pusat perdagangan utama di timur pada suatu masa.

Kesejahteraan Melaka ini jugalah yang menarik kuasa-kuasa asing seperti Thailand untuk menakluk Melaka. Percubaan Thailand untuk menakluk Melaka pada tahun 1446 dan 1456 telah dijatuhkan oleh Tun Perak, seorang Bendahara Melaka yang bijak. Perhubungan Melaka dengan negara China juga adalah hasil keputusan strategik Melaka untuk menghalang kemasukan Siam.

Pihak Portugis telah datang ke Timur untuk menakluk perdagangan rempah-ratus. Pada tahun 1511, bala tentera yang diketuai oleh Alfonso de Albuquerque telah menakluk Melaka. Pihak Portugis telah gagal untuk menjadikan Melaka sebuah negeri sejahtera kerana polisi-polisinya yang menyekat kebebasan serta pertandingan dan perang. Pihak Portugis telah memerintah Melaka dari tahun 1511 ke 1641.

Dalam tahun 1641, pihak Belanda telah mengalahkan pihak Portugis. Pihak Belanda telah memerintah Melaka dari tahun 1641-1795 tetapi mereka tidak berminat untuk menjadikan Melaka sebagai pusat perdagangan diantara Timur dan Barat tetapi mereka lebih berminat untuk membangunkan Batavia (Jakarta) di Indonesia sebagai pusat pentadbiran mereka.

Dibawah Perjanjian Anglo-Dutch, Melaka telah diserahkan kepada pihak British dalam tahun 1811 untuk ditukarkan dengan Batavia (Jakarta). Melaka kekal dibawah pemerintahan British sehingga kepada Perang Dunia kedua. Pihak Jepun kemudian telah memerintah Melaka pada tahun 1941-1945 dan kemudian menyerahkannya kembali kepada pihak British. Melaka kemudiannya dimerdekakan selepas Malaysia mencapai kemerdekaan pada tahun 1957.

Melaka hari ini telah membangun kepada sebuah perbandaran yang terancang. Pembangunan ini adalah hasil penat lelah serta semangat dan komitmen yang telah diturunkan oleh pemerintah Melaka untuk menjadikan Melaka sebuah negeri maju sebelum tahun 2010.

Malaysia telah mempraktikkan konstitusi beraja dalam kerajaan. Di peringkat kerajaan pusat, ketua Kerajaan adalah yang Dipertuan Agong. Beliau dibantu oleh Perdana Menteri.

Di peringkat negeri, ketua kerajaan adalan Gabenor atau Yang DiPertua Negeri. Beliau dibantu oleh Ketua Menteri. Dewan Undangan Negeri merupakan kuasa tertinggi dalam menetapkan polisi di dalam negeri.

Ketua Menteri dibantu oleh beberapa ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) dalam melaksanakan tugas-tugasnya dalam mentadbir kerajaan negeri. Exco ini bertanggungjawab kepada Dewan Undangan Negeri. Dewan Undangan Negeri diwakili oleh pelbagai orang yang telah dilantik setiap lima tahun.

Jabatan Ketua Menteri adalah tiang pentadbiran negeri yang meletakkan pejabat Ketua Menteri, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri serta lain-lain Jabatan. Komponen-komponen lain pentadbiran negeri termasuk agensi kerajaan, korporat serta Pejabat Daerah dan Tanah Melaka Tengah, Alor Gajah dan Jasin. Jentera kerajaan yang paling rendah diwakili oleh JAPERUN dan JKKK.

Di peringkat tempatan, terdapat tiga majlis daerah iaitu Majlis Perbandaran Melaka Bandaraya Bersejarah, Majlis Daerah Alor Gajah dan Majlis Daerah Jasin. Mereka menyediakan pelbagai perkhidmatan dan kemudahan kepada penduduk dalam menjalankan kehidupan harian mereka.


Kawasan Pentadbiran

* Alor Gajah
* Jasin
* Melaka Tengah




Lagu Negeri

"MELAKA MAJU JAYA"

MELAKA NEGERI BERSEJARAH
TEMPAT TUMPAH DARAH KITA
DIJUNJUNG DENGAN SEPENUH JIWA
UNTUK MAJU DAN JAYA

RAKYAT MELAKA SUDAH BERSATU PADU
BERIKRAR TAAT SETIA
JUJUR BERKHIDMAT SETIAP MASA
MELAKA MAJU JAYA


Kebudayaan

Kebudayaan Melaka bermula lebih daripada enam kurun dimana pelbagai adat etnik dan tradisi diadun sempurna. Kehidupan aman rakyat Melaka berpunca daripada kehidupan pelbagai kaum yang telah melahirkan orang-orang Melayu, Cina, India, Baba dan Nyonya, Portugis, Chitty dan Eurasia. Setiap kumpulan etnik ini memberi citarasa yang berbeza rakyat Melaka yang terkenal sebagai rakyat yang peramah.



Setiap kaum ini memegang teguh tradisi mereka dan ini dapat dilihat melalui makanan, adat keagamaan, festival, budaya, rekabentuk, pemakaian, barang kemas dan kraftangan.

Hari ini Melaka mempunyai banyak perkara untuk ditawarkan kepada pelancong seperti budaya, adat istiadar, tempat-tempat bersejarah, festival keagamaan, sambutan perayaan tradisional di bandar Melaka serta Alor Gajah dan Jasin.

Organisasi sosial orang Melayu di Melaka dibahagikan kepada dua iaitu mereka yang mengikut Adat Temenggong iaitu si isteri mengikut keluarga si suami dan Adat Perpatih, dimana si suami mengikut keluarga si isteri.

Wanita Melayu memakai pakaian yang longgar dan berlengan panjang yang dinamakan baju kurung dan dipakai bersama kain sarung atau baju yang sedikit ketat yang dinamakan baju kebaya. Lelaki Melayu memakai baju Melayu yang dipakai bersama seluar yang longgar berserta dengan kain yang dikenali sebagai samping yang diikat di pinggang. Untuk majlis perkahwinan dan kenduri, kain songket akan digunakan sebagai kain samping. Tradisi dan karakter lain orang Melayu digambar dalam lagu seperti Dondang Sayang Melayu dan seni mempertahankan diri seperti Silat Melayu.

Kaum Cina datang ke Melaka semenjak perpindahan beramai-ramai orang Cina dari propinsi Selatan di negara Cina. Kaum-kaum seperti Hokkien, Cantonese, Hakka, Teochew dan Hainanese masih mengikut adat istiadat, tradisi, makanan, bahasa dan ciri-ciri kebudayaan mereka.

Kaum India di Melaka adalah orang Tamil dari India Selatan dimana mereka mendiami ladang getah. Walaubagaimanapun, ada juga diantara mereka yang bekerja dalam perniagaan barang kemas, fabrik, peniaga runcit, pedagang dan peminjam wang.

Kaum India yang dilahirkan di Melaka dinamakan Chitty Melaka dan mereka adalah berasala dari kaum Hindu yang bekerja dalam bidang pertanian. Bahasa perantaraan mereka adalah bahasa Melayu dan amalan keagaaman mereka adalah hindu.



Baba dan Nyonya di Melaka adalah Cina Peranakan dimana nenek moyang mereka telah datang dan berkahwin dengan wanita tempatan. Perkahwinan campure seperti ini telah melahirkan budaya Cina yang unik serta tradisi Melayu.

Kaum Baba dan Nyonya telah memperkenalkan perabut unik, porselin dan pinggan mangkuk, cara pemakaian dan makanan lazat yang hanya boleh dijumpai di Melaka. Kaum Nyonya memakai sarung kebaya dengan "brooch" berbagai bentuk dan barang kemas yang diperbuat daripada perak atau emas.

Melaka adalah satu-satunya negeri yang mempunyai penempatan Portugis yang diasaskan pada tahun 1930. Penduduknya menamakan tempat ini Padre Sua Chang (Tanah Paderi) sempena dengan pengasasnya. Masyarakat yang tinggal di sini adalah orang Eurasia berketurunan Portugis yang hidup sebagai nelayan. Orang Portugis mengamalkan agama Katolik dan bercakap bahasa Cristang atau Cristao.

Kaum Portugis di Melaka menyediakan kehidupan tradisional, bahasa, adat resam dan musik yang ternyata unik. Tariannya yang paling popular adalah Beranyo dan Frapeirra. Festival Kristian juga di sambut dengan hebat termasuk Hari Krismas, Pesta San Pedra dan Easter.

Tempat-tempat keagamaan yang boleh dilawati termasuk Gereja Christ, Gereja St. Paul, Kuil Sri Poyyatha Vinayagar Moorthi, Masjid Kampung Kling, Tokong Cheng Hoon Teng, Masjid Kampung Hulu, Gereja St. Peter, Kuil Sam Poh Kong dan Masjid Tengkera.


Kampung Chitty

Seperti juga Baba dan Nyonya, Melaka mempunyai komuniti kecil yang dipanggil Chitty iaitu orang peranakan yang berketurunan India atau anak-anak pedagang India yang berkahwin dengan wanita Melayu. Kampung mereka dikenali sebagai Kampung Chitty dan terletak ke arah barat Jalan Gajah Behrang, satu kilometer daripada barat laut Chinatown. Jalan masuk ke kampung ini dihiasi dengan ukiran gajah bersebelahan dengan Kuil Mutamariman. Seperti juga Kampung Morten, ia adalah kawasan yang indah untuk dilawati dan melihat rumah-rumah kampung yang bercirikan kampung Melayu. Waktu yang terbaik untuk melawat adalah ketika Festival Mariamman atau Pesta Datuk Char-char pada bulan Mei. Ia adalah pesta Hindu dimana anda mungkin berpeluang untuk menyaksikan upacara perkahwinan tradisional kaum India.



Pelancongan di Melaka



Visi Pelancongan

Melaka sebagai destinasi pelancong yang terbilang di rantau Asia selaras dengan tema: "Melawat Melaka Bersejarah Bererti Melawat Malaysia"

Misi Pelancongan

* Memajukan industri pelancongan agar menjadi penyumbang utama kepada Pertumbuhan Ekonomi (GDP) dan Penjanaan Peluang Pekerjaan Negeri Melaka
* Memanjangkan tempoh bermalam di Melaka kepada tiga (3) malam menjelang 2010
* Menarik separuh daripada pelancong yang melawat Malaysia agar berkunjung ke Melaka menjelang 2010

Objektif Pelancongan

* Menjadikan Melaka sebagai destinasi MICE
* Industri pelancongan sebagai penyumbang utama kepada KNDK dan peluang pekerjaan
* Menarik 50% pelancong asing ke Malaysia datang ke Melaka pada 2010
* Length of Stay kepada tiga (3) malam menjelang 2010
* Melaka sebagai destinasi MESTI dilawati di Malaysia

Strategi Pelancongan

* Mendapat sokongan kerajaan persekutuan
* Fokus kepada 12 sub-sektor dan tema "Melawat Melaka Bersejarah Bererti Melawat Malaysia"
* Kajian dan Pembangunan
* Usaha promosi pelancongan Melaka: Domestik dan Antarabangsa
* Penyediaan Prasarana yang lengkap
* Sumber manusia yang mencukupi
* Niche Market / Niche Product
* Menyediakan produk dan perkhidmatan baru / dipakej semula / naik taraf
* Gandingan sektor awam dan sektor swasta

Fungsi Utama

* Sebagai badan utama mempromosi pelancongan Melaka: Domestik dan Antarabangsa
* Perkhidmatan Acara Pelancongan
* Menyediakan keperluan MICE
* Kajian dan Pembangunan


Tempat-tempat Bersejarah

A' Famosa


Mercu tanda negeri Melaka dan barangkali subjek yang paling banyak di gambarkan bersebelahan dengan Stadthuys. Dibina oleh pihak Portugis pada tahun 1511 sebagai kubu pertahanan dan telah mengalami kerosakkan struktur yang agak teruk semasa pencerobohan Belanda. Pihak British telah bercadang untuk memusnahkannya tetapi campurtangan Sir Stamford Rafles pada tahun 1808 telah menyelamatkan apa yang tinggal sebagai A' Famosa pada hari ini.


The Stadthuys


Di bina pada tahun 1650 sebagai penempatan rasmi Gabenor Belanda dan Timbalan Gabenor, di mana struktur bangunan ini melambangkan seni rekabentuk Belanda yang halus. Ia kini menjadi Muzium Sejarah dan Etnografi. Paparan harian muzium ini ialah pakaian pengantin tradisional dan artifak dari zaman kegemilangan Melaka.

Tel: +606 282 6526

Bayaran Masuk: RM 2.00 (Dewasa)

Waktu Operasi :
9.00am to 6.00pm (Sabtu - Khamis)
9.00am to 12.15pm & 2.45pm to 6.00pm (Jumaat)

Perigi Hang Tuah


Perigi ini terletak di Kampung Duyong, dimana Hang Tuah menghabiskan zaman kanak-kanaknya bersama-sama rakan karibnya yang kemudian menjadi pahlawan terkenal di Melaka. Perigi ini dikatakan telah menjadi tempat rohnya tinggal dan telah menjelma sebagai seekor buaya putih. Orang biasa tidak dapat melihat Hang Tuah ini. Cuma orang-orang yang alim sahaja yang dapat melihat jelmaan ini.

Makam Hang Tuah


Hang Tuah merupakan seorang admiral tentera laut Melaka yang telah berjaya menghalang kemasukan tentera Siam dan Aceh. Kejayaan beliau sebagai seorang pegawai tentera telah menjadikan beliau lagenda yang telah mencorakkan sejarah Melaka. Keberanian Hang Tuah telah terbukti sejak remaja lagi dimana beliau, tanpa bantuan sesiapa, telah menangkap seorang lelaki yang telah mengamuk di Kampung Duyong. Keberanian ini telah menyebabkan Sultan memanggil beliau ke istana untuk dijadikan pahlawan paling muda yang berkhidmat dengan Melaka. Makam ini terletak di Tanjung Kling.


TEMPAT-TEMPAT REKREASI

Hutan Rekreasi Ayer Keroh

Hutan Rekreasi Ayer Keroh, dengan keluasan 359 hektar, telah dibuka pada 17 April, 1984 dan ia menawarkan suasana aman dan nyaman untuk pengunjung.

Antara kemudahan yang boleh didapati termasuk taman pra-sejarah, taman pemainan kanak-kanak, taman orang asli, taman rusa, jambatan tergantung, menara pemerhatian, tapak perkelahan dan gerai makanan dan minuman.

Untuk mereka yang gemar berjogging, Hutan Rekreasi Ayer Keroh turut menawarkan pelbagai kemudahan termasuk trek dan sebagainya.

Kebanyakan pokok di hutan rekreasi ini telah diberi nama untuk memudahkan orang ramai dan pengunjung mengenalinya. Pengunjung juga boleh menggunakan menara pemerhatian yang ada di seluruh pelusuk hutan rekreasi ini untuk memerhati burung dan hidupan liar lain.

Terdapat juga tapak perkhemahan seluas 10 hektar dengan kemudahan asas seperti air, elektrik, kemudahan barbeque dan sebagainya.

Bayaran yang dikenakan cuma sebanyak RM10 sehari untuk kumpulan 10 orang manakala kumpulan kurang dari 10 orang dikenakan bayaran RM5 sehari.

Sekiranya anda lebih menyukai penginapan yang lebih selesa, terdapat juga cabin yang boleh disewa pada kadar RM30 semalam. Anda juga boleh menyewa pondok penginapan pada kadar RM5 semalam, tetapi anda dinasihatkan membawa barangan keperluan sendiri.

Waktu Operasi:
9 pagi hingga 6 petang setiap hari

Hubungi:
Jabatan Hutan Negeri Melaka
77000 Jasin
Melaka, Malaysia
Tel: +606 529 1244

Atau

Ayer Keroh Recreational Forest
Melaka, Malaysia
Tel: +606 232 8401 / 231 6096


Taman Tema A'Famosa

Direka khusus untuk rekreasi sekeluarga, taman tema seluas lapan-hektar ini dilengkapi dengan pelbagai kemudahan yang bertaraf antarabangsa. Mereka yang gemarkan aktiviti yang mencabar bolehlah mencuba gelongsor air dan pelbagai lagi kemudahan yang disediakan.

Untuk yang muda, terdapat juga pelbagai kemudahan dan aktiviti yang dijalankan untuk menjadikan lawatan mereka ke taman tema ini satu kenangan yang berpanjangan.

Salah satu taman tema yang terkenal disini ialah Cowboy Town dimana bangunan dan aktiviti-aktiviti yang dijalankan adalah berdasarkan sebuah bandar koboi.

Taman tema A'Famosa Resort ini terletak kira-kira sejam perjalanan dari Kuala Lumpur dan dua jam dari Johor Baru melalui Lebuhraya Utara-Selatan. Ia terletak di pekan Simpang Ampat, sebuah pekan yang berhampiran sempadan Melaka-Negeri Sembilan.

Maklumat Berguna/Hubungi:

Waktu Dibuka:
Isnin - Jumaat : 11.00 pagi - 7.00 malam
Hujung Minggu/Cuti Umum : 9.00 pagi - 8.00 malam

Bayaran Masuk:
Dewasa: RM 18.00
Kanak-Kanak (Ketinggian 3 kaki ke atas): RM13.00

Hubungi
A' Famosa Melaka
Animal World Safari, Cowboy Town & Water World
Jalan Kemus, Simpang Empat,
78000 Alor Gajah, Melaka
Tel: +606 552 0969, 0777
Fax: +606 552 0979
Email: enquiries@afamosa.com


Taman Buaya Melaka

Taman Buaya Melaka mempunyai kira-kira 100 spesies buaya dari serata dunia yang dipelihara dalam suasana yang hampir menyamai habitat semulajadi mereka.

Pengunjung juga boleh menyaksikan persembahan dan pertunjukan yang dipersembahkan oleh penjaga buaya ini pada setiap hari Sabtu. Pertunjukan yang mendebarkan ini pasti akan membuatkan anda tidak senang duduk.

Terdapat juga satu bahagian di taman ini yang dikhaskan untuk pemeliharaan lebah madu. Walaupun lebah secara amnya tidak akan mengganggu manusia, pengunjung di nasihatkan supaya berhati-hati apabila melintasi kawasan tersebut.

Tarikan lain di taman ini termasuklah rumah hantu dan pelbagai kemudahan rekreasi yang lain.

Maklumat Berguna/Hubungi:

Waktu Dibuka:

9 pagi hingga 6 petang setiap hari

Hubungi:
Taman Buaya Melaka
75450 Ayer Keroh
Melaka.
Tel: +606 232 2349 / 232 2350
Fax: +606 231 9136

Bayaran Masuk:

* Dewasa: RM5
* Kanak-Kanak: RM3


Zoo Melaka

Zoo Melaka, yang terletak di Ayer Keroh, adalah salah satu tempat tarikan utama pengunjung berikutan kedudukannya yang strategik, iaitu di Lebuh Ayer Keroh, jalan utama yang menghubungkan Melaka dengan Lebuhraya Utara-Selatan.

Zoo ini dianggap sebagai salah sebuah zoo yang tertua di Malaysia dan ianya menjadi kediaman pelbagai spesies binatang yang kini diancam kepupusan. Antara binatang yang boleh didapati di zoo ini termasuklah Panda Merah, binatang dari keluarga panda tetapi berlainan dari panda yang sering dikaitan dengan simbol negara China.

Selain dari menyaksikan binatang yang dikurung di dalam kandang, pengunjung juga boleh menikmati keseronokan menaiki gajah atau kuda, yang mana sering menjadi kegemaran pengunjung muda zoo.

Tarikan lain di Zoo Melaka adalah taman mini safarinya di mana pengunjung boleh berjalan di sepanjang titian kayu untuk menyaksikan binantang dari jarak dekat. Buat masa ini, terdapat kira-kira 80 binatang dari 16 spesies yang dibiarkan bebas dalam kawasan safari seluas 1.5 hektar ini.

Maklumat Berguna/Hubungi:

Zoo Melaka,
Ayer Keroh, 75450 Melaka.
Tel : +606-232 4053
Fax: +606-232 5859

Waktu Dibuka:

9 pagi - 6 petang (Setiap Hari)

Bayaran Masuk:

* RM7 (Dewasa)
* RM3 (Kanak-Kanak)

Menaiki Kuda/Gajah:

* RM2 (Dewasa)
* RM1 (Kanak-Kanak)

10am-12pm and 2pm-4pm
(Sabtu, Ahad dan Cuti Umum Sahaja)

Taman Rama-rama dan Reptilia Melaka

Satu lagi tempat menarik untuk dikunjungi di kawasan Ayer Keroh adalah Taman Rama-rama dan Reptilia Melaka yang menjadi tempat tinggal berbagai spesies rama-rama dan reptilia.

Selain rama-rama, yang merupakan hidupan utama di sini, pengunjung juga boleh menyaksikan pelbagai jenis reptilia termasuk ular, labah-labah, kala jengking dan ratusan jenis serangga yang pastinya akan membuatkan pengunjung merasa geli geleman.

Menyaksikan reptilia ini secara dekat, terutamanya ular, tentunya akan membuatkan pengunjung lebih memahami kehidupan dan habitat binatang yang seringkali disalah anggap ini.

Bayaran Masuk

* RM5 - Dewasa
* RM3 - Kanak-kanak

Waktu Di Buka:
8.30 pagi hingga 5.30 petang (Setiap Hari)

Hubungi:
Taman Rama-Rama dan Reptilia Melaka
75450 Ayer Keroh, Melaka.
Tel: +606 232 0033
Fax: +606 232 9977

Taman Mini Malaysia

Taman Mini Malaysia, yang boleh dianggap sebagai sebuah taman tema, adalah sebuah tempat yang paling sesuai untuk menyaksikan dan mempelajari tentang keunikan budaya masyarakat dari kesemua negeri di Malaysia.

Tarikan utama taman ini adalah replika rumah-rumah tradisional, yang setiap satunya telah dibina berasaskan senireka dan keunikan setiap rumah tradisional di kesemua 13 negeri di Malaysia.

Di dalam setiap rumah, pelawat akan berpeluang menyaksikan sendiri keindahan kraftangan negeri berkenaan yang digunakan sebagai bahan hiasan di dalam setiap rumah yang dipamerkan. Selain menjadi bahan pameran, kraftangan ini turut menjadi bahan untuk membolehkan pelawat mengenali setiap negeri di Malaysia dengan lebih dekat lagi. Pakaian tradisional turut dipamerkan di dalam beberapa buah rumah untuk tontonan umum.

Walaupun dari pandangan umum semua rumah ini nampak seakan-akan sama, mereka sebenarnya tidaklah serupa kerana setiap satu mempunyai identiti dan keunikan yang tersendiri.

Selain rumah-rumah tradisional ini, pelawat juga boleh menyaksikan pelbagai pertunjukan kebudayaan selain permainan tradisional.

Maklumat Berguna/Hubungi:

Taman Mini Malaysia/ASEAN,
Lebuh Ayer Keroh, 75450 Melaka

Tel: 06-2321334
Fax: 06-2321335

Waktu Dibuka:
9 pagi - 5 petang Setiap Hari

Bayaran Masuk

* RM10 (Dewasa)
* RM5 (Kanak-Kanak)


Makan-makan


Melaka terkenal dengan masakan yang pastinya akan membuka selera seperti makanan Melayu, Hidangan Cina, India, Baba dan Nyonya serta Portugis yang menjadi kebanggaan negeri ini. Begitulah istimewanya Melaka. Pelancong tidak perlu risau mencari makanan yang dapat memenuhi citarasa kerana terdapat pelbagai jenis restoran yang berwarna-warni, gerai-gerai di sepanjang jalan dan juga kedai kopi. Kebanyakan restoran yang terbuka akan menjadi pilihan pelancong untuk menjamu selera.

1. Makanan Nyonya

Sekiranya anda tiba di Melaka, masakan Nyonya akan membuatkan anda berselera sekali. Ia merupakan gabungan makanan Cina tetapi menggunakan rempah ratus masyarakat India dan herba-herba yang sering digunakan oleh masyarakat Melayu. Rasailah sendiri, barulah anda tahu kehebatannya. Antara hidangan yang boleh dicuba ialah otak-otak (isi ikan), sup itik, laksa lemak (mi dan udang bersama kuah laksa bersantan), jantung pisang, mi siam dan nasi kunyit.. Sebagai pembuka selera, anda boleh mencuba sagu Melaka (sagu biji bersama air gula) dan kuih koci (tepung pulut berinti kelapa parut).

2. Makanan Portugis

Masyarakat Portugis menggunakan gabungan rempah ratus dalam makanan mereka. Sebagai penambah perisa, jus lemon, asam jawa dan buah masam digunakan untuk memberi rasa yang sungguh nikmat dalam makanan. Di antara hidangan yang popular ialah Devil's Curry (kari yang kaya dengan 12 perasa bersama isi ayam atau daging), Garing-garing (snek lazat yang diperbuat daripada ikan dan disaji bersama sayuran yang dimakan mentah) dan Ikan Bakar Portugis (ikan yang dibakar dan dibalut dengan daun pisang).

3. Makanan Cina

Bagi masyarakat Cina, perbezaan cara masakan mengikut kumpulan seperti kantonis, hakka, hainan, hainan, szechuan dan hokkien membolehkan kita memilih makanan yang digemari. Masakan Cina juga pedas sedikit kerana ianya menggabungkan citarasa pelbagai etnik Cina. Di antara hidangan yang digemari ialah Char Kway Teow (mi yang diperbuat dari hasil beras, telur dan sayur taugeh), Mi Wantan, Mi Udang dan Dim Sum.

4. Makanan India

Makanan India terkenal kerana ianya kaya dengan rempah ratus seperti cili, cengkih, kayu manis, jintan putih dan sebagainya. Pelbagai jenis roti yang diperbuat daripada tepung gandum seperti thosai, chapati, naan, roti cana dan idli. Hidangan daun pisang pasti akan menarik selera ramai orang kerana makanannya dihidangkan di atas daun pisang menggantikan pinggan biasa. Ia memberikan satu pengalaman baru kepada mereka yang ingin mencubanya untuk pertama kali. Masyarakat India-Muslim terkenal dengan Nasi Briyani dan Mee Goreng. Hidangan lain termasuk kurma, ayam tandoori dan kari kepala ikan.

5. Makanan Melayu

Makanan Melayu memang terkenal dengan pedas, yang menggunakan pelbagai kandungan dari bahan-bahan semulajadi seperti cili, serai, halia, santan kelapa dan sebagainya. Masakan tradisional Melayu di Melaka adalah sambal yang diperbuat daripada cili, perisa udang dan perasa lain. Masakan yang paling popular bagi orang Melayu adalah nasi lemak iaitu sajian untuk sarapan pagi. Nasi Lemak dimasak dengan menggunakan ayam atau daging, kacang tanah, telur rebus dan sambal. Masakan lain yang popular adalah seperti asam pedas (ikan dan sayuran dimasak didalam kuah asam pedas), rendang, nasi padang dan nasi goreng.


© Pidgin Technologies Ltd. 2008.